BERITA SEMASAHIBURAN

Watie nafi kenal Shuib sebelum pemergian Siti Sarah

KUALA LUMPUR – Watie Hanifiah menafikan dakwaan bahawa dia sudah mengenali suaminya, pelawak Shuib, ketika Allahyarham Siti Sarah Raissuddin masih hidup.

Penjelasan itu dibuat menerusi hantaran di Instagram selepas Watie mengambil masa dua hari untuk berfikir dan memohon petunjuk daripada Allah SWT sebelum membuat keputusan untuk bersuara.

“Selepas hampir empat tahun mendirikan rumah tangga dan memilih untuk berdiam diri terhadap pelbagai kecaman, saya merasakan sudah tiba masanya untuk mempertahankan diri, terutama demi anak-anak.

“Saya dan suami tidak pernah mengenali antara satu sama lain dari sejak arwah (Siti Sarah) masih hidup,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia memilih untuk tidak membalas tohmahan dan hinaan yang dilemparkan terhadap dirinya kerana menyedari kekurangan serta kisah silam yang dimiliki.

Bagaimanapun, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada lima anak membuatkan dia tidak lagi mampu berdiam diri apabila perkara yang dibangkitkan turut melibatkan perasaan anak-anak serta nama baik Allahyarham Siti Sarah.

Dalam hantaran sama, Watie turut menafikan dakwaan mengenai hubungan Shuib dengan ahli perniagaan, Zaidi Kanapiah atau lebih dikenali sebagai Datuk Addy Kana.

“Saya pernah bertanyakan sendiri kepada Addy Kana sama ada dia mengenali Shuib secara peribadi selepas mereka mula berkenalan.

“Tetapi Addy Kana memaklumkan bahawa dia tidak mengenali Shuib dan tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan pelawak berkenaan,” tambahnya

Watie turut menjelaskan bahawa pendedahan tersebut bukan bertujuan menunjukkan dirinya sebagai individu yang lebih baik atau sempurna, sebaliknya berharap penjelasannya dapat menghentikan spekulasi yang berlarutan.

Mengulas mengenai perkahwinannya dengan Shuib, dia berkata hanya Allah SWT mengetahui hikmah di sebalik pertemuan mereka sebagai pasangan, meskipun hubungan itu menimbulkan tanggapan berbeza dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, Watie menjelaskan bahawa keputusannya meninggalkan dunia hiburan demi membina rumah tangga bukan bermaksud rakan-rakan yang ditinggalkan itu tidak baik, sebaliknya mungkin menjadi jalan untuknya memperoleh kebaikan di akhirat.

Dia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak hanya memandang dirinya dan Shuib dalam kontroversi berkenaan, tetapi turut mempertimbangkan perasaan anak-anak yang terkesan dengan dakwaan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button