BN perlu jelaskan kedudukan dalam krisis Negeri Sembilan – Johari Ghani
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung krisis politik di Negeri Sembilan, khususnya bagi menjawab dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan kemelut berkenaan.
Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Ghani berkata, penjelasan itu penting supaya masyarakat memahami perkara sebenar dan dapat menilai sendiri pelbagai tuduhan yang beredar, termasuk menerusi media sosial.
“UMNO kena jelaskan kena beritahu rakyat bahawa yang nak buat pemecatan kepada Tuanku (Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir) bukan UMNO.
“Kena jelaskan kenapa buat pengisytiharan, kena jelaskan supaya orang faham prosedur ini,” katanya selepas merasmikan Bayu Seafood by White N Black di sini, hari ini.
Krisis institusi diraja Negeri Sembilan telah berlarutan selama hampir enam bulan, dengan kebuntuan semakin meruncing selepas Pilihan Raya Negeri pada 1 Ogos lalu.
Menurut Johari yang juga Naib Presiden UMNO, rakyat mampu menilai kesahihan sesuatu dakwaan dan tidak seharusnya menerima begitu sahaja maklumat yang tersebar tanpa memahami konteks sebenar.
“Masyarakat kita ini, dia bukan senang kita boleh gula-gulakan. Dia faham, dia boleh menilai, dia boleh tengok bagaimana tuduhan itu betul atau tidak ataupun mereka yang dalam media sosial ini buat macam-macam tuduhan.
“Kedua-dua pihak masing-masing ada peluang untuk menjelaskan. Akhirnya masyarakat atau rakyat yang akan memilih,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







