Kerajaan kenal pasti 14 titik panas lokasi berisiko gempa bumi di Malaysia
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenal pasti 14 titik panas di seluruh negara sebagai lokasi yang berisiko berlakunya gempa bumi di negara ini.
Menurut Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Johari Ghani, kawasan tersebut termasuk Ranau dan Lahad Datu di Sabah, Niah di Sarawak, Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang, Batang Kali dan Ulu Yam di Selangor, serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
“Kawasan lain termasuk Kenyir di Terengganu, Manjung dan Temenggor di Perak, serta Mersing, Segamat dan Batu Pahat di Johor,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari berkata demikian bagi menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar–MUDA) yang bertanya sama ada Malaysia telah mengemas kini data berkaitan perubahan iklim dan kejadian gempa bumi terkini, serta sama ada bangunan di negara ini dibina untuk menahan gegaran seismik.
Johari kemudiannya berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) komited memperkukuh pemantauan gempa bumi dan mengeluarkan amaran awal tsunami melalui Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia.
Tambah beliau, sistem tersebut sedang dinaik taraf bagi mengurangkan masa amaran daripada lapan minit kepada enam minit menjelang 2026.
“Walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara masih terdedah kepada gegaran akibat gempa bumi besar di Indonesia dan Filipina, serta gempa bumi kecil tempatan, khususnya di Sabah, Sarawak dan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
“Gempa bumi tidak dapat diramal, manakala tsunami hanya boleh diramal selepas berlakunya gempa bumi bawah laut.
“Sehingga kini, tiada teknologi yang mampu meramal gempa bumi sebelum ia berlaku. Namun begitu, kementerian melalui MetMalaysia kekal komited memperkukuh pemantauan gempa bumi serta mengeluarkan amaran awal tsunami melalui sistem berkenaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 80 stesen seismik di seluruh negara ketika ini, disokong oleh 323 stesen antarabangsa yang membekalkan data secara masa nyata.
Johari menambah, MetMalaysia turut bekerjasama rapat dengan Pacific Tsunami Warning Centre (PTWC), South China Sea Tsunami Advisory Centre (SCSTAC) dan Indian Ocean Tsunami Warning and Mitigation System (IOTWMS) bagi memastikan amaran yang dikeluarkan lebih awal, tepat dan boleh dipercayai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








