Universiti Malaya bakal tawar program parallel pathway seperti UiTM
KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) akan menawarkan peluang program latihan kepakaran Parallel Pathway seperti yang ditawarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula Oktober ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sebelum ini satu perbincangan telah diadakan dengan UM Medical Centre (UMMC) berhubung pengenalan kursus itu.
“Di peringkat kementerian, kita cuba cari pendekatan terbaik bagaimana kita mahu selesaikan masalah ini. Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini isu-isu seperti ini akan kita selesaikan pada kadar segera.
“Jadi pada Oktober nanti, kita jangkakan UM akan menawarkan kursus ini bagi membolehkan mereka yang hendak mengikuti kursus-kursus pakar ini dapat juga berada di sana dan kemudiannya akan diikuti universiti-universiti lain,” katanya di Sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung sama ada kerajaan bercadang untuk membolehkan institusi selain UiTM menawarkan kursus latihan pakar kardiotorasik bagi mengatasi isu kekurangan pakar kardiotorasik negara.
Isu Parallel Pathway, menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Pada 29 Mei lalu, Zambry dilaporkan berkata, UM antara universiti dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi bagi menawarkan kursus pembedahan kardiotoraks.
Pada masa ini, Malaysia dibelenggu kekurangan pakar bedah kardiotoraks di hospital awam menyebabkan senarai menunggu pembedahan bagi pesakit jantung panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








