BERITA SEMASA

Ahli Parlimen Putrajaya bangkitkan satu lagi insiden kematian pelajar di sekolah

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen hari ini membangkitkan satu lagi insiden yang membabitkan kematian pelajar di sekolah.

Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) hari ini membangkitkan insiden kematian seorang murid tingkatan empat, Muhammad Zulfan Iqbal Zaiful, akibat lemas ketika menjalani aktiviti pemulihan selepas latihan bola sepak di sebuah sekolah sukan, lapan bulan lepas.

Beliau mendakwa, sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan berkaitan kes itu, termasuk yang dimaklumkan kepada keluarganya.

“Saya bawa perkara ini ke dewan yang mulia ini bagi pihak rakyat marhaen yang memohon supaya pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), memberi perhatian kepada kes ini.

“Sayu saya mendengar rintihan ibu bapa arwah. Mereka menyatakan terdapat terlalu banyak persoalan di sebalik kejadian itu. Sebagai contoh, pelaksanaan aktiviti ‘recovery’ selepas latihan di dalam kolam terjun sedalam lima meter menjadi tanda tanya.

“Apakah ini SOP (prosedur operasi standard) kementerian?

“Lebih menyedihkan, kedua ibu bapa menyatakan tidak ada pemimpin kanan KPM hadir untuk menziarahi dan memberi penjelasan kepada keluarga. Mereka cuma ingin mendapat pembelaan terhadap apa yang berlaku kepada arwah Zulfan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan mengesyorkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kepemimpinan kanan KPM turun bertemu kedua ibu bapa arwah Zulfan.

“Jangan kerana isu ini tidak viral, maka keluarga arwah tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Kalau hendak tunggu isu ini viral baru hendak diambil langkah segera, maka saya mohon rakyat Malaysia bantu viralkan.

“Kepada saudara Zaiful dan isteri, Puan Zullaila, saya rekodkan di Dewan ini mengenai apa yang berlaku. Semoga akan ada pembelaan untuk Arwah Zulfan,” katanya.

Allahyarham Muhammad Zulfan, 16, merupakan pelajar tingkatan empat dan atlet bola sepak bawah 16 tahun di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.

Allahyarham yang bermain di posisi penjaga gol sebelum itu dikatakan turut menarik perhatian pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) oleh kerana bakatnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button