LUAR NEGARA

Iran tetap enam syarat untuk buka semula Selat Hormuz

ISTANBUL – Iran menegaskan Selat Hormuz tidak akan dibuka semula sehingga Amerika Syarikat (AS) mengubah dasar terhadap Teheran dan memenuhi enam tuntutan yang ditetapkan negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohammad Bagher Zolghadr berkata, Washington perlu membetulkan tindakan yang didakwa bermusuhan terhadap Iran sebelum laluan perairan strategik itu kembali dibuka.

Menurutnya, antara tuntutan utama Teheran ialah AS menghentikan segala ancaman terhadap pemimpin tertinggi Iran serta menamatkan secara kekal tindakan ketenteraan terhadap Iran dan sekutunya di rantau berkenaan.

Iran turut menuntut Washington mengundurkan aset tentera laut dan udara AS yang terbabit dalam apa yang didakwanya sebagai sekatan terhadap Iran.

“Majlis Keselamatan Negara Tertinggi tidak akan berundur daripada tuntutan ini, sama ada dalam peperangan mahupun rundingan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.

Zolghadr berkata, dua lagi tuntutan Iran ialah AS membayar pampasan atas kerosakan yang berlaku akibat konflik terbaharu serta menarik balik sekatan terhadap Teheran dan membebaskan aset Iran yang dibekukan.

Beliau mendakwa kesemua tuntutan itu mencerminkan kehendak rakyat Iran berdasarkan perhimpunan yang diadakan di seluruh negara sejak enam hari lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap tentera Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia berkata, aturan Iran yang mengawal Selat Hormuz tidak akan berubah.

Beliau memberi amaran AS perlu menerima keadaan sedia ada atau berdepan kos yang jauh lebih besar berbanding sebelum ini.

Kenyataan tersebut dibuat ketika rundingan berhubung masa depan pelayaran melalui Selat Hormuz masih menemui jalan buntu.

Sebelum ini, Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada 18 Jun menerusi pengantaraan Pakistan dan Qatar bagi menamatkan permusuhan serta membuka ruang kepada rundingan untuk mencapai perjanjian lebih menyeluruh.

Memorandum berkenaan turut menetapkan pembukaan semula pelayaran komersial melalui Selat Hormuz secara berperingkat.

Bagaimanapun, pelaksanaan persetujuan itu terhenti selepas Iran dan AS saling menuduh antara satu sama lain melanggar syarat yang dipersetujui.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button