PMX

Malaysia sambut positif rundingan AS-Iran, harap Selat Hormuz dibuka semula

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik perkembangan rundingan ke arah perjanjian rangka kerja antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melihat perkembangan itu dengan optimis, Anwar berkata, Malaysia menerima petunjuk yang menggalakkan daripada pemimpin di Asia Barat bahawa rundingan tersebut sedang bergerak ke arah yang progresif.

“Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu dalam memudah cara proses tersebut.

“Kita juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Malaysia berharap semua pihak dapat memanfaatkan peluang tersebut dan memastikan rundingan berkenaan mencapai kejayaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia menggesa semua pihak mencapai satu perjanjian rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata semasa, menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz serta menangani kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button