Upacara pengebumian Ayatollah Ali Khamenei bermula, jutaan beri penghormatan terakhir
TEHRAN – Upacara pengebumian rasmi bekas pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, bermula hari ini dengan ribuan rakyat membanjiri Kompleks Solat Grand Mosalla di ibu negara bagi memberi penghormatan terakhir kepada tokoh yang memimpin republik Islam itu selama lebih tiga dekad.
Media kerajaan Iran melaporkan, upacara selama enam hari itu dijangka menarik kehadiran jutaan orang dan dianggap antara penghormatan terbesar dalam sejarah moden Iran.
Jenazah Allahyarham ditempatkan di Grand Mosalla untuk penghormatan awam sebelum dikebumikan di Mashhad pada 9 Julai.
Orang ramai yang berpakaian hitam dilihat memenuhi kawasan kompleks berkenaan sejak awal pagi sambil melaungkan slogan serta melakukan ritual berkabung masyarakat Syiah, termasuk memukul dada sebagai tanda kesedihan.
Keranda Allahyarham turut dipamerkan bersama beberapa ahli keluarganya yang terkorban dalam serangan udara pada Februari lalu, manakala pemimpin kanan kerajaan, pegawai tentera serta delegasi dari beberapa negara menghadiri majlis penghormatan tersebut.
Pihak berkuasa Iran turut memperketat kawalan keselamatan di Tehran dengan beberapa jalan utama ditutup dan langkah keselamatan dipertingkat bagi memastikan kelancaran sepanjang upacara pengebumian.
Ali Khamenei, 86, terbunuh dalam serangan udara bersama Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu, sekali gus menamatkan pemerintahannya sebagai Pemimpin Agung Iran yang bermula sejak 1989.
Pemergiannya disifatkan sebagai detik penting dalam sejarah politik Iran dengan kerajaan menggunakan upacara pengebumian itu sebagai simbol perpaduan nasional dan keteguhan negara berdepan tekanan luar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















