AS serang, rampas kapal kargo milik Iran di Teluk Oman
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) berjaya memintas dan merampas sebuah kapal kargo Iran di Teluk Oman sebagai sebahagian daripada sekatan laut yang sedang dilaksanakan, dakwa Presiden AS, Donald Trump.
Menerusi kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata kapal dikenali sebagai Touska itu ditahan selepas gagal mematuhi arahan untuk berhenti, meskipun amaran telah diberikan oleh Tentera Laut AS.
Beliau mendakwa tindakan tegas diambil dengan melumpuhkan enjin kapal berkenaan sebelum ia berjaya dikuasai sepenuhnya oleh pihak berkuasa AS.
“Kapal itu kini berada di bawah sekatan Perbendaharaan AS susulan sejarah aktiviti haram. Kini ia berada dalam kawalan penuh kami dan pemeriksaan sedang dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Iran mengecam tindakan tersebut sebagai pelanggaran gencatan senjata dan menyifatkannya sebagai ‘lanun bersenjata’ selain memberi amaran akan melancarkan tindak balas dalam masa terdekat.
Jurucakap Markas Tertinggi Tentera Iran, Khatam al-Anbiya dilaporkan berkata, kapal itu diserang di perairan Laut Oman sebelum sistem navigasinya dilumpuhkan dan anggota marin AS menaiki kapal tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika Rumah Putih mengesahkan Naib Presiden AS, JD Vance akan mengetuai delegasi ke Pakistan bagi rundingan pusingan kedua bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, Tehran belum mengesahkan penyertaan, malah media kerajaan Iran melaporkan pegawainya tidak akan menghadiri rundingan selagi sekatan laut AS masih diteruskan.
Sebelum ini, Trump menegaskan sekatan terhadap pelabuhan Iran akan kekal sehingga satu perjanjian dicapai.
Konflik antara kedua-dua pihak tercetus pada 28 Februari lalu susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran sebelum berlarutan selama lima minggu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








