LUAR NEGARA

Iran sedia henti operasi jika serangan dihentikan, tawar laluan selamat Selat Hormuz

TEHRAN – Iran menyatakan kesediaan untuk menghentikan operasi ketenteraan bersifat defensif sekiranya semua serangan terhadap negara itu dihentikan.

Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi berkata, pendirian itu dibuat susulan perkembangan terbaharu rundingan serta usaha diplomatik pelbagai pihak bagi meredakan ketegangan di rantau berkenaan.

“Jika serangan terhadap Iran dihentikan, angkatan tentera kami yang kuat akan menghentikan operasi pertahanan mereka,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut beliau, Iran turut bersetuju membuka laluan selamat di Selat Hormuz selama dua minggu, tertakluk kepada penyelarasan dengan angkatan tenteranya serta mengambil kira kekangan teknikal.

“Kami merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Pakistan, Asim Munir atas usaha berterusan mereka untuk menamatkan konflik di rantau ini,” katanya lagi.

Kenyataan itu turut dimuat naik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di media sosial.

Tambah Araghchi, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira cadangan rundingan yang dikemukakan oleh AS serta penerimaan rangka kerja umum cadangan Iran sebagai asas perbincangan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa langkah berkenaan mencerminkan komitmen Iran terhadap penyelesaian secara diplomatik, namun mengekalkan hak untuk mempertahankan diri sekiranya ancaman berterusan.

Perkembangan tersebut dilihat sebagai isyarat positif ke arah meredakan ketegangan geopolitik di Asia Barat, khususnya melibatkan laluan perdagangan minyak utama dunia di Selat Hormuz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button