
“Dia memang paling rapat dengan saya,” bapa pilu kehilangan anak bongsu
DENGKIL – “Dia memang paling rapat dengan saya. Apa-apa pun, dia akan cari saya.”
Demikian luahan Mior Syahrizal Mior Zakaria, 48, ketika mengenang anak bongsunya, Derma Damiya Nur Mikayla, 7, yang meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kesukaran bernafas di sekolah.
Bagi Mior Syahrizal, kehilangan Derma Damiya amat dirasai kerana anak perempuan tunggalnya itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengannya.
Damiya merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, dengan dua abangnya ialah Mior Muhammad Daniel, 23, dan Mior Muhammad Danish, 20.
Lebih memilukan, Mior Syahrizal berkata, dia mengambil keputusan berhenti kerja pada awal bulan ini demi memberi tumpuan kepada urusan persekolahan anak bongsunya itu.
“Saya buat keputusan ini kerana saya mahu memastikan perjalanan anaknya ke sekolah dan pulang ke rumah terurus.
“Setelah berbincang dengan kedua-dua orang anak lelaki saya, mereka mengatakan tak apa, ayah berhenti sahaja untuk uruskan Damiya. Manakala isteri saya, Derma Taksia @ Norlela, masih bekerja di sebuah klinik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Dengkil, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia biasanya menghantar anaknya itu ke sekolah agama pada sebelah pagi sebelum anaknya menghadiri sesi persekolahan kebangsaan pada sebelah petang.
Mengimbas hari kejadian, Mior Syahrizal berkata, anaknya menunjukkan sikap berbeza apabila lebih mudah mendengar kata dan menguruskan dirinya sendiri ketika bersiap untuk ke sekolah.
Katanya, Derma Damiya yang lazimnya aktif dan sering mengemukakan pelbagai soalan kepadanya dilihat lebih menurut arahan pada hari berkenaan.
“Biasanya, apabila saya suruh dia mandi, dia akan ambil masa sedikit. Tetapi hari itu, apabila saya suruh, dia terus bangun dan pergi mandi.
“Selepas siap, dia beritahu saya yang dia sudah mandi. Dia juga memakai baju dan tudung sendiri tanpa meminta bantuan saya,” katanya.
Perubahan itu tidak menimbulkan sebarang syak wasangka kepadanya ketika itu.
Mior Syahrizal berkata, dia tidak menyangka anak yang selama ini menjadi teman rapatnya itu akan pergi meninggalkan keluarga mereka.
Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan Tahun Satu di sebuah sekolah dekat Dengkil, meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika berada dalam kelas, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman
berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pukul 7.30 malam tadi.
Mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya bagi rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








