BERITA SEMASA

Suami isteri maut, kereta hilang kawalan rempuh dua kenderaan ketika hujan lebat

MERSING – Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 19, Jalan Endau-Mersing, semalam.

Mangsa yang maut dalam nahas tersebut ialah Muhammad Firdaus Muhamad Bustaman, 24, yang memandu Perodua Myvi, dan isterinya, Siti Nur Aisyah Anoor Beet Babjan Kahar, 23.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihak berkuasa menerima laporan mengenai insiden tragis itu pada pukul 5.10 petang.

“Siasatan awal polis mendapati kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang menghala ke arah Mersing dipercayai telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

“Kereta mangsa kemudian telah melanggar Toyota Innova dan Cherry Omoda. Ketika kejadian, keadaan cuaca dilaporkan hujan lebat,” katanya di sini semalam.

Abdul Razak berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah di beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu Toyota Innova berusia 53 tahun mengalami patah jari kaki kanan dan isterinya berusia 53 tahun cedera ringan.

Manakala, pemandu Chery Omoda berusia 75 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button