BERITA SEMASA

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Lipis

KUANTAN – Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di daerah Lipis, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kemalangan pertama berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari di Kilometer 95, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Merapoh dan melibatkan sebuah bas ekspres serta kereta Perodua Kancil.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bas yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Klang, Selangor dengan membawa 15 penumpang.

“Pada masa sama, kereta Perodua Kancil yang dipandu lelaki berusia 66 tahun bersama anaknya dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang di sebelah kiri jalan ketika bas tersebut sedang bergerak lurus.

“Pemandu bas cuba membrek dan mengelak ke kanan jalan namun gagal sebelum melanggar kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu pemandu kereta terbabit, Safein Ab Rahman, 66, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, pemandu serta semua penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam satu lagi kejadian, seorang pemandu treler maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18, Jalan Lipis–Jerantut berhampiran Kampung Lentang kira-kira jam 2.28 petang.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu Shahfik Fanzi Rosli, 41, sedang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Mentakab, Pahang untuk menghantar muatan batu kapur.

“Ketika melalui selekoh tajam, treler tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum terbalik dan bertembung dengan lori Isuzu dari arah bertentangan.

“Sebuah Honda Jazz yang berada di belakang lori berkenaan cuba mengelak namun turut terlibat dalam kemalangan itu,” katanya lagi.

Beliau berkata, pemandu lori Isuzu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan, manakala pemandu Honda Jazz, seorang wanita berusia 27 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan, selain dinasihatkan supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button