Pemandu lori syarikat keselamatan maut nahas tiga kenderaan di Lebuhraya PLUS
SHAH ALAM – Seorang pemandu lori disahkan maut manakala tujuh individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di Hulu Selangor, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu lori 10 tan milik sebuah syarikat keselamatan.
“Pemandu lori tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kelindan lori berusia 39 tahun mengalami patah tulang rusuk dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
“Kemalangan turut melibatkan sebuah bas ekspres yang membawa seorang pemandu dan empat penumpang. Pemandu bas berkenaan dilaporkan tersepit dan mengalami kecederaan di kepala serta kaki kiri.
“Tiga penumpang lelaki cedera ringan manakala seorang lagi mengalami kecederaan di bahagian kaki dan badan. Seorang kanak-kanak perempuan pula mengalami pendarahan di hidung namun berada dalam keadaan sedar,” katanya lagi.
Tambah beliau, pemandu treler yang terlibat hanya mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan menolak untuk dibawa ke hospital.
Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.12 pagi sebelum seramai 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








