Guru tahfiz maut dalam perjalanan ke tempat kerja
ALOR GAJAH – Seorang guru tahfiz maut dalam satu kemalangan tragis selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori sampah di Jalan Tanjung Bidara, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Azmi Ismail, 48, yang merupakan guru di Sekolah Agama Tahfiz Al-Quran Al-Abqari, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati lori sampah berkenaan dipandu lelaki berusia 37 tahun dari arah Pengkalan Balak menghala ke Kem Terendak.
“Ketika kejadian, lori terbabit dipercayai telah memperlahankan kenderaan sebelum berhenti di bahu kiri jalan.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda ADV dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu melanggar bahagian pemijak kaki sebelah kanan belakang lori tersebut,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat ditahan bagi tujuan pemeriksaan di PUSPAKOM.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















