Operator kilang maut selepas motosikal terbabas, tercampak ke laluan bertentangan
KLANG – Seorang operator kilang maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan tercampak ke laluan bertentangan dalam kemalangan di Jalan Meru Tambahan, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terkena bahagian sisi sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Jalan Nenas menghala ke Puncak Alam untuk ke tempat kerja.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan lalu terkena bahagian tepi sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
Menurut Ramsay, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-584 3860.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















