BERITA SEMASA

MyKomuter50 diperkenal, pengguna jimat sehingga RM160 sebulan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan kemudahan MyKomuter50 bagi membantu kira-kira 40,000 pengguna KTM Komuter menjimatkan kos perjalanan sehingga RM160 sebulan menerusi Belanjawan 2027.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemudahan pas My50 diteruskan untuk memanfaatkan 300,000 pengguna perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana di Lembah Klang.

“Kerajaan turut menyediakan pas pengangkutan awam percuma kepada 360,000 penerima merangkumi murid sekolah, komuniti orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia bawah enam tahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen hari ini.

Bagi menangani masalah gangguan perkhidmatan tren yang menjejaskan perjalanan harian pengguna katanya, Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dipertanggungjawabkan mengambil tindakan segera bagi memastikan kelancaran operasi.

Katanya, sebagai langkah jangka panjang, Prasarana akan melabur lebih RM3.4 bilion untuk pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel, manakala kerajaan akan memperoleh 42 set tren baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter.

Selain itu katanya, Fasa 1 Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini.

“Malaysia dan China turut mencapai persetujuan untuk menyambung laluan berkenaan ke Rantau Panjang, selain pembinaan stesen bas di stesen ECRL Kota Bharu bagi memudahkan pergerakan rakyat Kelantan.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM270 juta bagi meningkatkan perkhidmatan bas henti-henti di bandar utama, termasuk menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan RM1.1 bilion untuk menaik taraf jalan di kawasan pelabuhan dan lapangan terbang terpilih, termasuk di Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Sandakan, Pulau Pinang serta STOLport Long Banga dan Ba’Kelalan di Sarawak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button