BERITA SEMASA

Belanjawan 2027: KPKM terima RM6.92 bilion, pesawah nikmati subsidi, insentif RM4,300

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerima peruntukan RM6.92 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2027, meningkat RM50.31 juta berbanding RM6.87 sebelum ini, dengan tumpuan kepada pengukuhan keterjaminan makanan negara serta kebajikan petani, pesawah dan nelayan.

Daripada jumlah itu, RM4.85 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM2.07 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi meningkatkan pengeluaran makanan domestik, memperkukuh daya tahan sektor agromakanan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import.

Antara tumpuan utama ialah peruntukan RM2.62 bilion bagi meneruskan pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah, yang membolehkan mereka menikmati manfaat bernilai kira-kira RM4,300, termasuk subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan insentif harga padi.

Selain itu, kadar Insentif Penuaian Padi (IPP) dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 sehektar bagi setiap musim, manakala Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dikekalkan pada RM300 sehektar semusim dan diperluas kepada pengusaha sawah di Sabah serta Sarawak.

“Kerajaan turut menyediakan RM20 juta bagi memulih dan menyuburkan tanah menerusi pembekalan baja foliar yang melibatkan lebih 10,000 hektar sawah.

“Pelaksanaan projek tanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) juga diteruskan, dengan kerja menaik taraf sistem pengairan di 15 blok sawah sedang dilaksanakan mengikut jadual.

“Projek Pemulihan Empangan Pedu pula dijangka siap pada penghujung 2027,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamad berkata, dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan di peringkat komuniti, kerajaan menyediakan RM300 juta bagi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Sementara itu, pembiayaan berjumlah RM1 bilion disediakan menerusi Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyokong peningkatan hasil pertanian, termasuk melalui penggunaan teknologi.

“Dana RM40 juta turut disediakan bagi menghasilkan produk bernilai tinggi menggunakan teknologi moden.

“Bagi membantu mengurangkan kos sara hidup, sebanyak 5,000 program Jualan Agro MADANI akan diteruskan dengan menawarkan hasil pertanian segar seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.

“Penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga diperluas ke 216 pasar tani atau tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara,” katanya.

Dalam sektor perikanan pula, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan menerusi proses pemutihan.

“Sebanyak RM40 juta melalui Agrobank turut disediakan bagi pembiayaan projek akuakultur, termasuk penyediaan sistem bioflok untuk ternakan ikan tilapia.

“Nelayan yang layak juga terus menikmati harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter, manakala RM178 juta diperuntukkan, antaranya bagi menyalurkan insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup sehingga RM300 sebulan,” menurut kenyataan itu lagi.

Mohamad berkata, KPKM komited memastikan setiap peruntukan dan inisiatif dilaksanakan secara cekap, berkesan serta berlandaskan tatakelola yang baik supaya manfaatnya dapat dinikmati golongan sasar.

Katanya, langkah berkenaan selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) untuk membangunkan sektor agromakanan yang lebih moden, mampan dan berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button