Baja 3 lewat: KPKM sedia bantu siasatan SPRM
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan isu kelewatan pembekalan Baja 3 kepada kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak kementerian menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan segala persoalan berhubung proses pembekalan berkenaan dapat diperjelaskan.
Menurut beliau, berdasarkan rekod KPKM, syarikat pembekal terbabit gagal memenuhi komitmen penghantaran serta terma yang ditetapkan sehingga menyebabkan bekalan baja lewat diterima oleh pesawah.
“Berdasarkan rekod, syarikat pembekal gagal memenuhi komitmen penghantaran yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan kelewatan bekalan kepada pesawah.
“Kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pesawah, malah turut memberikan imej negatif kepada KPKM dan kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohamad berkata, KPKM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat berkenaan sekiranya didapati gagal memenuhi tanggungjawab seperti yang ditetapkan, selaras dengan peraturan serta terma kontrak.
Beliau berkata, kementeriannya turut memberi keutamaan kepada usaha memastikan baki bekalan Baja 3 dapat disalurkan kepada pesawah yang terjejas dalam kadar segera.
“Dalam masa yang sama, keutamaan saya dan KPKM adalah memastikan baki bekalan Baja 3 dapat disalurkan kepada pesawah dengan segera.
“Pemantauan juga akan diperketatkan supaya masalah seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Semalam, Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, mengarahkan supaya isu kelewatan bekalan Baja 3 disiasat SPRM.
Perdana Menteri menegaskan sekiranya terdapat sebarang salah laku, tindakan termasuk pembatalan kontrak bekalan serta pendakwaan mengikut undang-undang perlu diambil terhadap pihak atau syarikat yang terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







