BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM beku dua akaun bernilai hampir RM1 juta, sita wang tunai RM170,000

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dua akaun bernilai kira-kira RM1 juta serta menyita wang tunai hampir RM170,000 dalam siasatan pengurusan sisa elektronik (e-waste) melibatkan pegawai tinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan seorang orang awam.

Menurut sumber, tindakan itu melibatkan pembekuan satu akaun syarikat dengan anggaran nilai RM700,000 serta satu lagi akaun perbankan milik individu berjumlah kira-kira RM300,000.

Katanya, siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan SPRM bermula sejak 19 Januari lalu dan turut membawa kepada penyitaan wang tunai berjumlah kira-kira RM170,000.

“Setakat ini SPRM telah membekukan satu akaun syarikat dan satu akaun individu dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta.

“Pada masa sama, siasatan kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan perbuatan rasuah membabitkan kegagalan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengurusan buangan terjadual yang disyaki terlibat dalam aktiviti pelupusan bahan buangan secara haram,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Semalam, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah serta seorang penolong pegawai JAS direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bagi membantu siasatan, manakala seorang orang awam direman selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkembangan tersebut dan memaklumkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button