BERITA SEMASA

652 penjawat awam terima ganjaran RM1.18 juta kerana lapor rasuah

PUTRAJAYA – Seramai 652 penjawat awam menerima ganjaran berjumlah RM1.18 juta kerana tampil melaporkan pemberian atau penerimaan rasuah sepanjang tempoh 2012 hingga 2025.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, daripada jumlah itu, seramai 529 individu menerima ganjaran wang tunai serta sijil penghargaan manakala 123 lagi menerima sijil penghargaan atas komitmen mereka dalam membantu membanteras rasuah.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti dalam sektor perkhidmatan awam.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja melambangkan penghargaan terhadap integriti penjawat awam, malah menjadi dorongan dan contoh kepada penjawat awam lain untuk berani menolak serta melaporkan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Halim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan jumlah penerima pengiktirafan tertinggi sepanjang tempoh berkenaan iaitu seramai 437 orang, diikuti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan 64 penerima.

“Maritim Malaysia pula mencatatkan 33 penerima manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 21 penerima,” katanya lagi.

Bagi penilaian tahun 2026, beliau berkata, seramai 54 calon baharu daripada empat agensi penguatkuasaan dikemukakan membabitkan 30 kertas siasatan dengan nilai rasuah yang cuba disogokkan mencecah RM304,621.

“Calon berkenaan terdiri daripada 38 pegawai PDRM, 12 pegawai Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, tiga pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan seorang pegawai JIM.

“Semua calon telah melepasi tapisan keutuhan SPRM serta semakan rekod jenayah oleh PDRM,” katanya lagi.

Menurut beliau, antara kes berprofil tinggi yang dinilai tahun ini termasuk tindakan seorang pegawai PDRM di Perlis yang menolak tawaran rasuah RM200,000 berkaitan kes rampasan 1.8 tan syabu serta kes penolakan rasuah bernilai RM45,000 di Johor.

Tambahnya, penjawat awam yang ingin dipertimbangkan bagi menerima pengiktirafan itu perlu membuat aduan rasmi dan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan sehingga kes selesai dibicarakan di mahkamah.

Beliau turut berharap skop pemberian ganjaran dapat diperluaskan kepada lebih ramai penjawat awam termasuk pegawai yang terlibat dalam urusan perolehan kerajaan bagi memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button