Pertemuan MB, EXCO Negeri Sembilan dengan Tunku Nadzaruddin dibatalkan
SEREMBAN – Pertemuan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang dijadualkan berlangsung pada hari ini dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menurut sumber, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa serta nasihat yang diberikan oleh pihak berkuasa.
“Perjumpaan yang dijadualkan berlangsung di sebuah hotel dibatalkan atas faktor keselamatan selepas mendapat nasihat pihak berkuasa,” memetik BH online.
Sebelum ini, sesi berkenaan dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar pada jam 9 pagi sebagai majlis menghadap sembah takzim dan sesi suai kenal antara Menteri Besar, barisan EXCO serta Tunku Nadzaruddin.
Bagaimanapun, Ismail hanya mengadakan sesi sarapan bersama barisan EXCO dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pada pagi tersebut.
“Menteri Besar hanya bersarapan dengan EXCO dan beberapa ADUN kerajaan,” kata sumber itu lagi.
Semalam, media melaporkan Ismail dan barisan EXCO dijadualkan menghadap Tunku Nadzaruddin dalam satu majlis yang turut dijangka dihadiri Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Perkembangan itu berlaku ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan terus menjadi perhatian susulan tindakan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan kesemua 10 EXCO negeri.
Namun, Ismail sebelum itu menegaskan barisan EXCO yang dipimpinnya masih sah dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga terdapat keputusan muktamad berhubung perkara tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







