EXCO Pulau Pinang didakwa cederakan isteri
BALIK PULAU – EXCO Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya, Ahad lalu.
Tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas kira-kira jam 10 malam, 22 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Nazran Mohd Sham bersama Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Afandi Zulkifli dan Lim Jin Hong, manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Shamsher Singh Thind.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon mahkamah membuat ketetapan berhubung notis bantahan sama ada pertuduhan masih sah atau sebaliknya sebelum pengakuan direkodkan.
Peguam tertuduh merujuk Seksyen 260(1) Kanun Tatacara Jenayah berhubung kesalahan yang boleh dikompaun dan memohon mahkamah memutuskan sama ada pertuduhan boleh dibacakan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan kes itu melibatkan Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang bukan satu kesalahan boleh dikompaun.
Mahkamah kemudian menolak permohonan pembelaan dan membenarkan pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








