BERITA SEMASA

PAS perlu jelaskan pendirian dalam krisis Negeri Sembilan – AMK

KUALA LUMPUR – PAS digesa tampil menjelaskan pendirian parti itu berhubung krisis di Negeri Sembilan yang membabitkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz dan keputusan kerajaan negeri berkaitan proklamasi penurunan takhta.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, PAS tidak boleh berdiam diri memandangkan parti itu mempunyai wakil dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Beliau berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini mengesahkan bahawa keputusan berhubung proklamasi berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh semua ahli Exco.

“Adakah wakil PAS turut menyokong keputusan itu? Jika menyokong, tampil dan pertahankannya.

“Jika membantah, nyatakan bila bantahan itu dibuat dan mengapa Menteri Besar mengumumkannya sebagai keputusan sebulat suara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Danish, rakyat berhak mengetahui pihak yang membuat keputusan, mereka yang menyokongnya serta pihak yang perlu bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu merupakan persoalan berkaitan tanggungjawab politik, terutama apabila PAS sering menyuarakan pendirian mengenai kedaulatan institusi diraja.

“Apabila wakilnya berada dalam pentadbiran yang terlibat secara langsung dalam krisis ini, rakyat berhak mendengar pendirian PAS sendiri,” katanya.

Danish turut berkata, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah membatalkan pelantikan ahli-ahli Exco susulan pertikaian berkenaan.

“Dalam keadaan penting ketika ini, diam bukan sebuah jawapan. PAS mesti jelaskan pendiriannya dan peranan wakilnya kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button