BERSAMA buka permohonan calon pilihan raya secara terbuka
SHAH ALAM – Parti BERSAMA membuka permohonan kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk menawarkan diri sebagai calon pilihan raya menerusi proses pemilihan terbuka, selaras dengan hasrat parti itu untuk merintis budaya politik yang berteraskan bakat rakyat dan masa depan negara.
BERSAMA berkata, individu yang ingin menjadi calon boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi parti dengan memilih laluan pendaftaran sebagai calon pilihan raya.
“Mereka yang belum menjadi ahli BERSAMA perlu terlebih dahulu memohon keahlian sebelum layak mendaftar sebagai calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BERSAMA berkata, pemohon akan melalui beberapa peringkat penilaian termasuk melengkapkan maklumat peribadi, latar belakang pendidikan, kerjaya, keluarga serta maklumat kewangan seperti pendapatan dan aset.
“Mereka juga perlu menjalani temu duga saringan yang dikendalikan menggunakan algoritma sistem bagi menguji karisma, keterampilan dan kesediaan untuk menjadi calon pilihan raya,” katanya lagi.
BERSAMA turut berkata, permohonan yang disahkan akan dinilai oleh Jawatankuasa Calon berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk kepakaran dan kemahiran yang boleh menyumbang kepada masyarakat, selain tapisan terhadap rekod pembabitan politik terdahulu bagi memastikan calon selari dengan imej serta aspirasi parti.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan turut meneliti kesesuaian calon berdasarkan faktor kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi, jantina, umur dan kaum, di samping menilai tahap karisma serta keterampilan calon.
“Calon yang berjaya melepasi tapisan pertama akan menjalani tapisan kedua yang melibatkan semakan digital serta maklum balas daripada masyarakat setempat bagi mengenali mereka dengan lebih dekat.
“Hanya calon-calon yang telah melepasi tapisan pertama dan kedua akan dipanggil untuk tapisan terakhir secara bersemuka dengan pasukan pusat BERSAMA,” kata kenyataan itu lagi.
Calon yang berjaya melalui semua peringkat saringan akan dipertimbangkan sebagai calon berpotensi BERSAMA dan akan diumumkan secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Menurut kenyataan sama, pemohon perlu menyatakan kerusi Parlimen atau DUN yang ingin ditandingi, manakala calon DUN diwajibkan tinggal atau mempunyai alamat di negeri yang sama sebagaimana ditetapkan undang-undang.
BERSAMA turut berkata, keutamaan saringan ketika ini diberikan bagi memuktamadkan calon untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















