Pimpinan PH Negeri Sembilan bincang persediaan hadapi PRN, bukan bubar DUN
SEREMBAN – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang bermesyuarat di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, hari ini hanya membincangkan mengenai persediaan parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin menjelaskan, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun itu bukanlah mesyuarat khas seperti yang diperkatakan.
“Ia adalah mesyuarat biasa, bukan mesyuarat khas. Ia dinamakan tergempar kerana notis singkat selepas pembubaran DUN Johor petang semalam.
“Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang harmoni dengan semangat keluarga PH Negeri Sembilan. Kami membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihanraya PH untuk PRN yang bakal menjelang,” kata Ahli Parlimen Rasah itu dalam hantaran di Facebook.
Laporan media sebelum ini menyebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bersama beberapa pemimpin parti dilihat hadir ke kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seawal pukul 9.30 pagi.
Berikutan itu, timbul desas desus bahaw kehadiran mereka itu adalah bagi menghadiri mesyuarat khas berkaitan dengan pembubaran DUN.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah kemudiannya memaklumkan, tiada sidang media yang akan diadakan susulan mesyuarat terbabit.
Beliau bagaimanapun berkata, Menteri Besar akan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








