KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung dakwaan kononnya UMNO Negeri Sembilan bersedia untuk menjadi pembangkang di negeri itu.
Beliau menegaskan, kenyataan yang berlegar ketika ini masih belum jelas dan tidak wajar diperbesarkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam landskap politik negeri berkenaan.
“Kenyataan UMNO itu belum jelas, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut. Pada saya, isu ini tidak perlu dibesar-besarkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Putrajaya, hari ini.
Mengulas kedudukan pentadbiran negeri, beliau menjelaskan isu melibatkan institusi diraja tidak timbul memandangkan pandangan telah diperoleh daripada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan kekal berpegang kepada prinsip menghormati sistem beraja serta mematuhi titah baginda bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terjamin.
“Isunya tidak berbangkit kerana kita patuh kepada titah diraja supaya keadaan negeri stabil, menteri besar diteruskan dan kita lihat sama ada benar wujud kehilangan sokongan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, gabungan itu akan terus menjunjung sistem raja berperlembagaan serta menghormati adat dan undang-undang sebagai asas pemerintahan di Negeri Sembilan.
Beliau turut mengingatkan Menteri Besar, Datuk seri Aminuddin Harun agar memastikan setiap keputusan pentadbiran selaras dengan titah Tuanku, selain mengambil kira keunikan Adat Perpatih dan peruntukan undang-undang tubuh negeri.