BERITA SEMASADALAM NEGERI

PM zahir penghargaan kepada Presiden Xi atas jemputan hadiri perarakan bersejarah

BEIJING – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Presiden China, Xi Jinping atas jemputan menghadiri perarakan memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, di sini hari ini.

Anwar yang hadir bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, menyertai barisan 26 pimpinan dunia lain menyaksikan perarakan penuh bersejarah itu dari Gerbang Tian’anmen, monumen ikonik yang suatu ketika dahulu menjadi pintu masuk utama ke Kota Larangan pada era Dinasti Ming dan Qing.

Menurut Perdana Menteri, walaupun pertunjukan aset ketenteraan menjadi tumpuan utama, perarakan itu membawa mesej mendalam menentang kezaliman, penindasan, pencerobohan, kerakusan kuasa, kolonialisme dan imperialisme yang pernah mencatatkan titik hitam dalam sejarah peradaban manusia.

anwar beijing
Anwar Ibrahim bersama 26 pimpinan dunia meraikan ulang tahun kebangkitan rakyat China dan penamatan Perang Dunia Kedua di Dataran Tian’anmen, Beijing.

“Selepas 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua, dunia masih lagi dihantui penindasan dan kekejaman yang berlaku secara terbuka tanpa penentangan sewajarnya daripada kuasa besar yang sering mendabik dada dengan slogan demokrasi serta hak asasi manusia.

“Keamanan sejati hanya dapat dicapai dengan keberanian serta keyakinan teguh menolak kezaliman dalam apa jua bentuk,” katanya dalam hantaran di media sosial sebentar tadi.

Sejurus selepas perarakan, Anwar dan Wan Azizah bersama pemimpin dunia lain turut menghadiri jamuan tengah hari di Great Hall of the People yang dihoskan Presiden Xi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button