BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan umum tambahan RM20 juta untuk SMJKC

IPOH 14 Feb. – Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) di seluruh negara bagi tujuan pembaikan serta penaiktarafan kemudahan asas.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, tambahan itu melengkapi peruntukan RM80 juta yang sebelum ini diluluskan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebagai usaha berterusan memperkukuh sektor pendidikan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, peruntukan baharu itu disalurkan berdasarkan keperluan semasa sekolah khususnya melibatkan kemudahan asas dan prasarana.

“Hari ini sempena Tahun Baharu Cina, saya ambil kesempatan umumkan tambahan RM20 juta kepada sekolah-sekolah menengah Cina selain RM80 juta yang telah diluluskan sebelum ini.

“Ini sebagai tanda menghormati rakan-rakan masyarakat Cina dan memastikan kemudahan pendidikan terus dipertingkatkan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan di SMJKC Yuk Choy, di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng.

Pada majlis sama, seramai 3,000 murid daripada 16 sekolah sekitar Parlimen Tambun menerima bantuan tunai RM300 setiap seorang.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan pendidikan bukan sekadar menyalurkan peruntukan besar, sebaliknya perlu membentuk insan berakhlak dan saling menghormati tanpa mengira kaum serta latar belakang.

Beliau berkata, insiden buli di sekolah mencerminkan kegagalan sistem pendidikan sekiranya tidak berjaya melahirkan generasi yang bebas daripada sifat sombong dan tidak berakhlak.

“Peruntukan ratusan juta ringgit boleh ditambah, tetapi jika kita gagal membentuk manusia yang berakhlak dan mempunyai nilai murni, maka usaha itu tidak membawa makna,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button