BERITA SEMASAPMX

Anwar seru rakyat perkukuh perpaduan hadapi cabaran ekonomi global

KUCHING – Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, sebaliknya menjadi madrasah yang mendidik jiwa untuk membentuk ketakwaan, memperkukuh persaudaraan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan perlu terus dijadikan teras dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang semakin mencabar.

“Ramadan mengingatkan kita bahawa selain memperkukuh hubungan dengan Allah, bulan ini juga mengajak kita mempererat hubungan sesama manusia dan memperteguh semangat perpaduan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama masyarakat Sarawak di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, Anwar berkata, dunia kini sedang berdepan ketidaktentuan akibat konflik di rantau Teluk dan Parsi yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak serta gangguan rantaian bekalan.

Menurutnya, kerajaan mengambil langkah segera dan berhemah bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan kos sara hidup, termasuk mengekalkan harga petrol RON95 petrol pada kadar RM1.99 seliter walaupun kebanyakan negara jiran di rantau ini telah menaikkan harga bahan api tersebut.

“Prinsip kerajaan jelas, ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, tanggungjawab kerajaan adalah memastikan beban itu tidak dipindahkan kepada mereka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kekuatan sebenar negara terletak pada ketahanan domestik yang perlu diperkukuh melalui etika kerja yang tekun, tadbir urus lebih baik serta semangat inovasi dan perpaduan antara kerajaan Persekutuan, negeri, sektor swasta dan rakyat.

Tambah beliau, cabaran ekonomi global juga harus dilihat sebagai peluang untuk melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam sistem ekonomi negara.

Mengulas perkara itu, Anwar turut merujuk kepada pandangan ahli ekonomi Jerman-Austria, Joseph Schumpeter yang memperkenalkan konsep ‘creative destruction’, iaitu setiap krisis memerlukan keberanian untuk mencari ruang dan pendekatan baharu dalam mengolah sistem ekonomi sedia ada.

“Insya-Allah dengan ikhtiar bersama serta doa yang berterusan, Malaysia mampu melangkah gagah sebagai sebuah negara yang berdaya tahan, bersatu dan tegap menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button