BERITA SEMASA

Isu tahanan rumah Najib perlu diputuskan mahkamah – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Persoalan berhubung pelaksanaan arahan pembebasan dan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu ditentukan oleh mahkamah bagi memastikan pentafsiran undang-undang dibuat dengan jelas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Jabatan Penjara akan melaksanakan apa juga keputusan berkaitan pengampunan atau arahan mahkamah mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata, KDN merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas terdapat perbezaan pentafsiran undang-undang berhubung order of discharge atau arahan pembebasan yang dikeluarkan oleh pendaftar mahkamah.

“Semalam apabila pembayaran itu dibuat, kami kemudiannya merujuk kepada Peguam Negara terutama kerana order of discharge, arahan untuk pembebasan itu yang dikeluarkan oleh pendaftar mahkamah, mewujudkan satu tafsiran yang sedikit berbeza dari segi undang-undang.

“Jadi, apa yang kita buat adalah kita merujuk untuk mendapat pandangan Peguam Negara supaya ada kejelasan dari segi pelaksanaannya,” katanya ketika menjawab soalan media berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Semarak Kebudayaan Masyarakat Kedah bersama PDRM di Kulim, Kedah, hari ini.

Menurut Saifuddin, KDN tertakluk kepada nasihat perundangan Peguam Negara selaku penasihat undang-undang kerajaan dalam melaksanakan keputusan berkaitan perkara itu.

Beliau menegaskan, pihaknya telah mengambil langkah yang diperlukan bagi melaksanakan apa juga keputusan, sama ada pada peringkat Lembaga Pengampunan mahupun arahan mahkamah.

Katanya, selepas pandangan undang-undang diberikan oleh Peguam Negara, pihak peguam Najib turut mengemukakan respons balas berhubung perkara itu.

“Kalau ada perbezaan begitu, seperti mana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik harus dibuat di mahkamah,” katanya.

Saifuddin berkata, pendirian KDN kekal jelas, iaitu Jabatan Penjara akan melaksanakan apa juga keputusan yang dibuat berdasarkan arahan dan peruntukan undang-undang.

Beliau turut menegaskan bahawa hak Najib untuk mengemukakan permohonan pengampunan adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan kuasa berkenaan terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button