Kes fitnah kaitkan Ismail Sabri dengan serangan anak Rafizi dikelaskan NFA
KUALA LUMPUR – Kes fitnah yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut atau No Further Action (NFA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas kertas siasatan dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 23 Disember 2025.
Menurut beliau, PDRM menerima laporan polis berkaitan kes berkenaan pada 18 Ogos 2025 sebelum membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setelah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan, AGC memutuskan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan Rafizi yang meminta penjelasan mengenai status siasatan oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap laporan dibuat oleh Setiausaha Akhbar Ismail Sabri.
Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan dapatan analisis profil oleh MCMC yang tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang disiasat serta gagal mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan penyebaran kandungan fitnah tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos 2025, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki mengekori kenderaan isteri beliau menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian berlaku.
Beberapa hari selepas insiden itu, Ismail Sabri telah membuat laporan polis serta aduan kepada MCMC berhubung penyiaran artikel palsu di sebuah laman Facebook yang mengaitkannya dengan serangan tersebut.
Rafizi sebelum itu turut menafikan dakwaan yang mengaitkan Ismail Sabri dengan kejadian berkenaan dan memaklumkan kesediaannya untuk meminta siasatan dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif dicapai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








