Polis akan hantar pegawai rakam keterangan MB Kedah
SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawai bagi merakam keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di negeri itu berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu kaum pada ceramah politik di Jempol, baru- baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata kes berkaitan Muhammad Sanusi itu masih dalam siasatan lanjut.
“Sebenarnya perkara ini masih lagi dalam siasatan. Kami cuba mendapatkan kenyataan menteri besar itu sendiri. Jadi beliau ada di Kedah.
“Pihak kami mengatur segala keperluan untuk menghantar pegawai bagi mendapatkan kenyataan beliau,” katanya ketika sidang media sejurus meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kerana kes itu masih berjalan.
“Apa pun saya tidak mahu mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi kerana ia memerlukan siasatan yang lebih lanjut, bukti-bukti daripada pihak yang tertentu supaya kita dapat melaksanakan kertas siasatan yang lengkap bagi siasatan, kemudian kita serahkan kepada Peguam Negara,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.
Alzafny dilaporkan berkata, pihaknya sudah memanggil dan merakam percakapan beberapa saksi selain turut meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi membantu siasatan kes membabitkan pemimpin PAS itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















