BISNES & EKONOMI

Focus Point Prestige perluas operasi ke selatan tanah air

JOHOR BAHRU – Rangkaian peruncitan optik terbesar Malaysia, Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd (Focus Point), meluaskan kehadirannya dalam segmen pasaran premium menerusi pembukaan rasmi cawangan Focus Point Prestige di The Mall, Mid Valley Southkey, di sini.

Majlis pelancaran cawangan baharu itu disempurnakan bersama oleh Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru, Datuk Jeffrey Lai Jiun Jye; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Holdings Berhad, Datuk Liaw Choon Liang; serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Peruncitan IGB REIT Management Sdn Bhd, Rennie Lee.

Destinasi kaca mata eksklusif berkenaan direka khusus bagi memenuhi permintaan pengguna yang mengutamakan kemewahan, ketelitian mutu pertukangan dan gaya peribadi, selain melengkapkan keperluan penjagaan penglihatan profesional.

Butik berkenaan menghimpunkan deretan jenama pereka antarabangsa dan jenama optik khusus terkemuka, antaranya Cartier, Bvlgari, Dior, DITA, Gucci, Prada, Saint Laurent, Tom Ford, Valentino, ic! berlin, Linda Farrow, Miu Miu, TAG Heuer serta jenama buatan tangan dari Jepun, 999.9 (Four Nines).

Bagi melangkaui pengalaman peruncitan konvensional, cawangan itu turut dilengkapi teknologi diagnostik optik termaju ZEISS, termasuk sistem ZEISS VisuFit 1000 bagi memastikan proses pemilihan dan pemasangan kanta dilaksanakan secara tepat mengikut profil anatomi setiap pelanggan.

Sempena pembukaan rasmi tersebut, Focus Point Prestige menawarkan pelbagai ganjaran eksklusif kepada pembeli, termasuk beg tote khas bagi pembelian terpilih bingkai jenama Gucci dan Saint Laurent, selain merchandise serta penyertaan cabutan bertuah untuk produk TAG Heuer.

Focus Point ketika ini mengendalikan lebih 210 cawangan di seluruh negara dengan sokongan lebih 250 profesional penjagaan mata bertauliah dan berpengalaman melebihi 36 tahun dalam industri optik tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button