
Penempatan Rohingya di Bukit Larang timbulkan kebimbangan penduduk
TELOK MAS – Kewujudan penempatan warga Rohingya di Bukit Larang yang didakwa semakin bertambah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Telok Mas, Kapten (B) Mohamad Jaafar berkata, isu berkenaan antara perkara yang dibangkitkan penduduk kepadanya sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Menurutnya, penduduk berharap kebimbangan mereka berhubung perkembangan penempatan berkenaan mendapat perhatian pihak berkuasa dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Penduduk ada membangkitkan isu penempatan warga Rohingya di Bukit Larang yang semakin bertambah. Perkara ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau berkata, isu berkenaan bukan perkara baharu kerana sudah beberapa kali disuarakan, namun penduduk masih menantikan penyelesaian yang dapat meredakan kebimbangan mereka.
“Isu ini sudah disuarakan, tetapi setakat ini masih belum ada tindakan yang dapat menyelesaikan kebimbangan penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Kapten Mat berkata, masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan kejadian banjir berulang turut menjadi antara aduan utama penduduk sepanjang tempoh kempen.
Katanya, sekurang-kurangnya tiga lokasi dikenal pasti berdepan masalah berkenaan, terutama ketika hujan lebat sehingga menyebabkan air melimpah dan memasuki kediaman penduduk.
“Bila banjir, air naik. Bila hujan lebat, air naik dan rumah banjir. Ada tiga tempat yang saya dah minta bantuan Ahli Parlimen Kota Melaka untuk menyelesaikan masalah ini sebelum PRN,” katanya.
Beliau berkata, masalah berkenaan memerlukan perhatian segera kerana kejadian banjir berulang bukan sahaja menjejaskan keselesaan penduduk, malah boleh mengakibatkan kerosakan harta benda.
Untuk rekod, PRN Melaka ke-16 menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi DUN Telok Mas antara Mohamad Jaafar mewakili PH, penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Muhammad Hazwan Mustafa daripada Bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














