POLITIK

PRN Melaka platform bina kembali kekuatan – Adam Adli

MELAKA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai platform baharu untuk membina semula kekuatan parti menerusi pendekatan politik yang lebih matang, berteraskan idea dan dasar yang disampaikan dengan jelas kepada rakyat.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, parti itu perlu membuktikan semula penerimaannya dalam kalangan rakyat selepas gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Melaka 2021, lapor BERNAMA

“Kita perlu buktikan kepada rakyat bahawa parti ini masih diterima dan mampu melahirkan wakil rakyat yang boleh menjadi suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

“Kita akan memulakan perjuangan ini tanpa memegang satu pun kerusi DUN. Cabaran ini memerlukan PKR menggunakan pendekatan berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini, termasuk beralih daripada politik berasaskan naungan kepada gaya politik yang lebih matang,” katanya dalam laporan tersebut.

Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) berjya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.

Related Articles

Bagaimanapun, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka turut merangkumi ADUN daripada PH, selaras dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang turut diamalkan di peringkat Persekutuan.

Adam Adli, yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, berkata PH akan menghadapi PRN akan datang dengan rendah hati dalam usaha menampilkan gabungan itu sebagai entiti yang dekat dengan rakyat serta responsif terhadap keperluan masyarakat berbilang kaum.

“Kita tidak mahu melabel rakyat berdasarkan kecenderungan politik mereka. Sebaliknya, kita menghormati kematangan pengundi untuk membuat penilaian sendiri berdasarkan tawaran yang dikemukakan,” katanya.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata PKR perlu terus memahami dan menangani keperluan semua lapisan masyarakat, khususnya berkaitan kos sara hidup, golongan muda, pendidikan, pemilikan rumah, gaji dan kesihatan mental.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut berkata, kejayaan sesebuah parti tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan dominasi politik, sebaliknya sejauh mana idea dan dasar yang dibawa memberi manfaat kepada masyarakat.

Mengenai Kongres Nasional PKR 2026, Adam Adli berkata, kongres itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti sebagai persediaan menghadapi PRN Melaka.

Melaka akan menjadi tuan rumah kongres berkenaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, dari 13 hingga 16 Ogos, dengan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikannya pada 15 Ogos.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button