Kempen Rafizi terlalu agresif, ibarat ‘bakar kelambu kerana nyamuk’ – Sim Tze Tzin
KUALA LUMPUR – Cara berkempen Datuk Seri Rafizi Ramli dalam usaha mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dikritik sebagai terlalu agresif hingga dikhuatiri menjejaskan keharmonian parti.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan pendekatan yang digunakan Rafizi menyerupai tindakan ‘marahkan nyamuk, kelambu habis dibakar’ apabila terlalu banyak isu dalaman dibawa ke pengetahuan umum.
Menurutnya, tindakan tersebut mengundang persepsi negatif dalam kalangan ahli parti dan seharusnya diselesaikan secara tertutup.
“Pada pendapat saya, cara Rafizi berkempen agresif dan mungkin tidak dapat diterima oleh ramai ahli parti. Sebabnya, ahli parti ini macam keluarga. Walaupun dalam keluarga ada yang tidak bersetuju, kita selesaikan dalam keluarga juga.
“Bila masalah dalaman dihebohkan kepada umum, ia akan mengundang respon yang tidak baik dan menjejaskan imej parti,” katanya memetik laporan BH Online.
Tze Tzin yang turut bertanding jawatan Naib Presiden PKR berkata, pendekatan Rafizi jauh berbeza berbanding seorang lagi calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar yang menurutnya mengambil pendekatan lebih damai dan tidak menyerang sesiapa sepanjang kempen.
“Nurul Izzah tidak menyerang. Dia diam, dia telan saja. Saya nampak pendekatan yang lebih tenang ini lebih sesuai dengan suasana parti sekarang,” katanya lagi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Rafizi akan terus menggunakan pendekatan menyerang sehingga ke akhir tempoh kempen, yang kini berbaki kurang lima hari.
“Nasib baik tempoh kempen ini pendek. Saya cuma harapkan kawan baik saya Rafizi, sebagai rakan seperjuangan, kembali kepada asas perjuangan.
“Kita sertai parti ini untuk membawa perubahan. Dalam perjuangan ini memang banyak cabaran, tetapi kita mesti kekal sebagai satu pasukan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








