BERITA SEMASAPOLITIK

Guna karikatur sindir Anwar, Loke pendekatan politik tidak matang – Kor Ming kepada PN

TAPAH – Nga Kor Ming melahirkan rasa kesal berhubung tindakan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan sepanduk karikatur bagi menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semasa proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini, hari ini.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan pendekatan politik yang sangat tidak matang.

“Sindiran melalui karikatur sebegini yang berniat jahat tidak membawa sebarang nilai tambah kepada pembangunan negara, malah cuba memesongkan tumpuan daripada isu sebenar yang perlu kita atasi bersama seperti perang tariff Trump,” tegas Timbalan Pengerusi DAP itu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, sebagai parti politik yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, beliau percaya bahawa perdebatan politik harus berteraskan dasar, pelan pembangunan serta cadangan penambahbaikan.

Justeru itu, beliau menegaskan, tindakan mempermainkan individu dengan cara yang kebudak-budakan serta memperalatkan ugama dan kaum sebagai modal murahan adalah sama sekali tidak patut.

“Pakatan Harapan (PH) komited dan cakna untuk memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Ayer Kuning.

“Sokongan ini penting bagi memperkukuh hubungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan pembangunan negeri Perak selaras dengan wawasan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming turut menambah, negara ini memerlukan politik yang membina, bukan membinasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button