BERITA SEMASA

Kedutaan AS nafi campur tangan dalam penentuan kepimpinan politik Malaysia

KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menafikan dakwaan bahawa negara itu pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia, sambil menegaskan sebarang laporan yang mengaitkan AS dengan usaha sedemikian adalah tidak benar.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H. Gamble Jr berkata, Amerika Syarikat tidak pernah berusaha menentukan siapa yang harus memimpin Malaysia.

“Amerika Syarikat tidak pernah berusaha untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia dan sebarang laporan yang mendakwa sebaliknya adalah palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penjelasan itu dibuat susulan spekulasi yang tersebar dalam talian mengenai dakwaan penglibatan AS dalam urusan politik domestik negara.

Menurut kenyataan tersebut, hubungan diplomatik antara AS dan Malaysia terus tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama serta hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa wakil Kedutaan AS pernah bertanyakan mengenai calon Perdana Menteri yang dicadangkan PAS ketika satu pertemuan di kedutaan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, pertanyaan itu dikemukakan selepas dua pemimpin kanan PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan wakil diplomatik AS.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar PAS Ke-72, Abdul Hadi turut mendakwa kedua-dua pemimpin terbabit dimaklumkan mengenai kemungkinan menjatuhkan kerajaan sedia ada dan mengambil alih pentadbiran negara, selain mendakwa AS bersedia membantu usaha berkenaan.

Bagaimanapun, Kedutaan AS menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan pendirian bahawa Washington tidak terlibat dalam menentukan hala tuju kepimpinan politik Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button