BERITA SEMASAPOLITIK

41 kes jenayah ahli politik diklasifikasi NFA, masih boleh dibuka semula – Azalina

KUALA LUMPUR – Siasatan dan semakan lanjut terhadap kes jenayah membabitkan ahli politik yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) masih boleh dijalankan semula sekiranya muncul perkembangan baharu pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sepanjang 2020 hingga Julai lalu, sebanyak 60 kertas siasatan telah dibuka melibatkan ahli politik, dengan 41 daripadanya dikategorikan sebagai NFA berdasarkan maklum balas Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kes jenayah tidak seperti kes sivil kerana ia tidak tertakluk kepada had tempoh masa. Jadi, sekiranya terdapat perkembangan baharu, siasatan dan semakan lanjut masih boleh dilakukan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang meminta penjelasan berhubung peratusan kes jenayah melibatkan ahli politik yang diklasifikasikan sebagai NFA dari tahun 2020 hingga 2025.

Mengulas mengenai mekanisme bagi memastikan klasifikasi NFA tidak dipengaruhi campur tangan politik, Azalina menegaskan bahawa AGC membuat penilaian berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang semata-mata.

Katanya, keterangan yang dikemukakan polis akan diteliti secara menyeluruh tanpa mengambil kira latar belakang individu yang disiasat, selaras dengan prinsip integriti, ketelusan dan kebebasan pendakwaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button