PAS Selangor sedia hadapi PRU-16, rangka tawaran pembangunan inklusif
SHAH ALAM – PAS Selangor menegaskan jentera parti di negeri itu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), malah persediaan telah digerakkan sejurus berakhirnya pilihan raya lalu.
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Sabirin Marsono berkata, jentera parti tidak pernah berhenti bekerja dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa sekiranya pilihan raya diadakan.
Menurut beliau, PAS mempunyai tradisi di mana sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, jentera parti akan terus memulakan gerak kerja untuk menghadapi pilihan raya seterusnya.
“Bila keluar keputusan pilihan raya, contohnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15, keesokan harinya jentera kita sudah bekerja untuk pilihan raya seterusnya, tidak kira bila ia akan berlaku.
“Jentera kita pula bukan jentera berbayar, jadi komitmen mereka datang daripada kesedaran dan kesungguhan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa PAS di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan tahap kesiapsiagaan jentera PAS Selangor menghadapi PRU-16.
Sabirin menjelaskan, pelancaran jentera oleh Pemuda PAS Selangor baru-baru ini hanyalah sebahagian daripada siri persediaan yang telah lama dilaksanakan di pelbagai peringkat di seluruh negeri.
Menurutnya, kebanyakan kawasan termasuk peringkat daerah mengundi telah lebih awal melancarkan jentera masing-masing serta menjalankan pelbagai latihan bagi memastikan kesiapsiagaan menyeluruh.
“Dari sudut struktur jentera dan latihan yang diperlukan oleh jentera kita, semuanya telah siap sepenuhnya. Malah jika pilihan raya diadakan esok sekalipun, kita sudah bersedia dari semua sudut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata PAS Selangor juga yakin dengan barisan kepimpinan sedia ada yang terdiri daripada gabungan tokoh pelbagai latar belakang profesional dan akademik.
Katanya, kepimpinan negeri itu tidak hanya diwakili golongan ulama, malah turut merangkumi ahli akademik, peguam serta profesional dalam pelbagai bidang.
“Pesuruhjaya PAS sendiri seorang ahli akademik, Ketua Penerangan juga ahli akademik. Gabungan ini merupakan kombinasi mantap untuk kita tampilkan calon-calon yang boleh menang dalam PRU16,” katanya.
Tambah beliau, PAS yakin calon-calon yang bakal diketengahkan mempunyai integriti tinggi serta bersih daripada sebarang isu.
Sabirin turut memaklumkan PAS Selangor telah merangka pelan induk pembangunan inklusif sebagai tawaran kepada rakyat negeri itu.
Menurutnya, pelan tersebut merangkumi pembangunan ekonomi serta pemerkasaan kesejahteraan sosial rakyat yang akan dimuatkan dalam manifesto parti.
“Manifesto ini telah disebut secara ringkas sebelum ini, namun perinciannya belum boleh didedahkan kerana masih rahsia.
“Apabila tiba masa yang sesuai, barulah kita akan bentangkan kepada rakyat dan pengundi di Negeri Selangor,” katanya.
Beliau turut menegaskan Selangor sebagai negeri yang kaya memerlukan pengurusan terbaik agar rakyat dapat menikmati manfaat sepenuhnya.
“Selangor deserves better kerana ia sebuah negeri yang kaya, cuma ia perlu diuruskan dengan baik oleh pasukan terbaik supaya rakyat negeri ini mendapat yang terbaik,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








