Isu diesel: Pemuda PAS Selangor persoal dasar subsidi, desak semakan bantuan BUDI95
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS Selangor mempersoalkan dasar subsidi kerajaan khususnya melibatkan kenaikan harga diesel di Semenanjung yang didakwa tidak memihak kepada golongan berpendapatan rendah.
Naib Ketua Pemuda PAS negeri itu, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai mendakwa, terdapat ketidakseimbangan dalam pelaksanaan subsidi bahan api khususnya melibatkan pengguna diesel dalam kalangan B40 dan M40 berbanding pengguna petrol RON95.
Menurutnya, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan komitmen kerajaan untuk melindungi golongan miskin, pelaksanaan dasar semasa dilihat tidak selari dengan kenyataan tersebut.
Beliau mendakwa harga diesel yang kini mencecah sekitar RM5.52 seliter memberi tekanan besar kepada kira-kira 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dalam kalangan B40 dan M40, berdasarkan data Kementerian Kewangan pada Jun 2024.
“Sebagai contoh, bagi penggunaan 200 liter, pengguna diesel B40/M40 terpaksa menanggung kos bersih sebanyak RM804 (selepas bantuan BUDI RM300).
“Manakala, golongan T20 yang menggunakan petrol RON95 hanya membayar RM398 untuk jumlah liter yang sama.
“Perbezaan kos sehingga RM406. Ini bermakna golongan berpendapatan rendah (B40 dan M40) membayar dua kali ganda lebih mahal berbanding golongan kaya (T20),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menyemak semula kadar bantuan BUDI Diesel dengan mencadangkan peningkatan sekurang-kurangnya kepada RM500 sebulan bagi mengimbangi kenaikan harga bahan api tersebut.
“Kerajaan MADANI harus konsisten dengan prinsip keadilan sosial.
“Janganlah niat murni untuk mengurangkan ketirisan subsidi akhirnya menjadi bebanan yang menghukum golongan miskin yang sepatutnya dibantu,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








