POLITIK

PAU 2026 tentukan hala tuju kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 untuk menentukan hala tuju parti termasuk kedudukan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kepimpinan parti tidak akan menghalang mana-mana perwakilan daripada menyuarakan pandangan berhubung masa depan parti, termasuk isu kerjasama dengan rakan gabungan.

Katanya, pandangan akar umbi perlu diberi ruang menerusi perbahasan terbuka dan telus, terutama ketika parti memasuki fasa akhir penggal pentadbiran negara.

Beliau berkata, daripada 157 bahagian yang mengemukakan usul, kelangsungan kerjasama politik dan gagasan ‘Rumah Bangsa’ antara perkara yang paling banyak mendapat perhatian untuk dibahaskan pada PAU 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dari 9 hingga 12 September ini.

“UMNO tidak akan pernah menyekat pembahas-pembahas negeri-negeri untuk membahaskan apa sahaja kalau melihat daripada sentimen-sentimen di media sosial, memang itu antara topik-topik hangat, tapi saya tidak mahu mendahului Perhimpunan Agung UMNO.

“Kita terbuka kepada sebarang perbahasan daripada perwakilan dan yang paling penting ambil manfaat daripada Perhimpunan Agung UMNO ini termasuk perhimpunan sayap-sayap wanita, pergerakan pemuda dan pergerakan puteri untuk membicarakan secara telus dan tuntas berkenaan dengan hala tuju parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.

Baca juga : Asyraf Wajdi enggan berundur kerana desakan AMK, PKR

Mengulas mengenai kuasa PAU dalam menentukan dasar parti, Asyraf Wajdi berkata, perhimpunan berkenaan merupakan platform tertinggi UMNO yang mempunyai kuasa berdasarkan perlembagaan parti untuk menetapkan pendirian berhubung perkara dasar, termasuk soal kerjasama dengan parti lain.

“Platform yang terbaik untuk kita menentukan hala tuju parti sama mana nak meneruskan kerja (kerajaan) perpaduan itu dengan siapa untuk kita bekerjasama itu terserahlah kepada perwakilan.

“Yang paling penting sekali kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO ini adalah medan yang terbaik pertama untuk kita muhasabah melakukan introspeksi dalaman parti sama ada kita benar-benar melakukan proses transformasi parti yang diharapkan,” katanya.

PAU 2026 dijadual menghimpunkan 6,401 perwakilan rasmi dari seluruh negara, dengan acara pra-perhimpunan bermula pada 8 September menerusi Multaqa Ilmuan Islam Malaysia serta Konvensyen Pendidikan Melayu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button