BERITA SEMASA

Sudah tiba masa gubal Akta Perlindungan Guru – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan supaya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi pendidik yang bertindak dengan suci hati, secara munasabah dan mengikut prosedur dalam mengawal disiplin serta keselamatan pelajar.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan penggubalan akta tersebut memandangkan guru kini semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tugas.

Menurutnya, antara rasional utama penggubalan akta berkenaan ialah untuk melindungi guru yang membuat keputusan segera dalam situasi disiplin, keselamatan atau kecemasan selagi tindakan itu dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Guru sering membuat keputusan serta-merta untuk mengawal disiplin, keselamatan atau kecemasan.

“Jika tindakan dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan KPM, mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana tidak puas hati,” katanya.

Beliau turut berpandangan akta itu dapat mengurangkan budaya litigasi yang semakin meningkat apabila pertikaian di sekolah dibawa terus ke mahkamah.

Katanya, mekanisme seperti siasatan awal atau mediasi boleh diwujudkan sebelum sesuatu kes diteruskan melalui tindakan mahkamah.

“Ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri.

“Akta boleh memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan bagi guru yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi,” jelasnya.

Beliau menegaskan kebimbangan berterusan terhadap kemungkinan disaman boleh menyebabkan guru menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang diperlukan.

“Keadaan ini boleh menjejaskan pengurusan sekolah dan pembentukan sahsiah murid,” katanya.

Tambah beliau, perlindungan undang-undang yang munasabah juga akan membantu meningkatkan imej dan penghormatan terhadap profesion perguruan, sekali gus memastikan lebih ramai individu berkualiti terus memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button