
MAIS nafi JAIS perangkap atau aniaya Nik Nazmi dalam kes khalwat
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan penahanan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan kes khalwat bukan tindakan penganiayaan atau perangkap, sebaliknya berdasarkan aduan rasmi yang diterima.
Memetik laporan Bernama Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, JAIS menjalankan tanggungjawab penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang dan perlu menyiasat setiap aduan yang dikemukakan tanpa memanipulasi keadaan untuk mengenakan mana-mana individu.
“Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali. Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh.
“Jadi, percayalah JAIS akan menjalankan siasatan sebaik mungkin dan kalau ada keterangan jelas kita akan buat pertuduhan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Mengulas tindakan memaklumkan kes itu kepada umum, Salehuddin berkata langkah berkenaan bertujuan menjelaskan bahawa undang-undang syariah dilaksanakan secara adil tanpa mengira kedudukan atau pengaruh individu yang disiasat.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberi ruang kepada JAIS untuk melengkapkan siasatan dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses perundangan.
“Kita tidak boleh menjatuhkan hukum selagi siasatan belum lengkap, kita perlu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan. Sekiranya dilakukan tanpa peraturan dan sebagainya, kita juga akan ditohmah,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi menerusi kenyataan di Instagram mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan JAIS atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lalu. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
Dalam perkembangan berasingan, Salehuddin berkata JAIS masih meneliti kes seorang pemuda tempatan yang disyaki mengamalkan ritual agama lain yang bercanggah dengan hukum syarak.
Menurutnya, dapatan awal menunjukkan tindakan pemuda itu setakat ini berkaitan kepercayaan peribadi, namun pihak berkuasa agama masih meneliti bukti digital, termasuk hantaran mengenai ritual di Batu Caves yang dikaitkan dengan kepercayaan luar.
Beliau berkata kesahihan bahan digital perlu dipastikan sebelum sebarang tindakan di mahkamah diambil, memandangkan kandungan tertentu berkemungkinan dimanipulasi menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Masyarakat kena faham apabila kita hendak mengambil tindakan di mahkamah, kita kena pastikan semua keterangan itu adalah benar. Kadang-kadang kita tahu, boleh jadi superimpose atau AI (kecerdasan buatan), jadi kita ada pakar yang boleh menentukan ketulenannya,” katanya.
Salehuddin menegaskan siasatan menyeluruh perlu diselesaikan sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung dakwaan berkaitan akidah seseorang.
Pada 13 Oktober lalu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata seorang lelaki yang tular kerana disyaki melakukan ritual agama lain yang bertentangan dengan hukum syarak ditahan bersama ibunya di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








