LUAR NEGARA

Remaja 16 tahun, lelaki warga emas maut pesawat ringan terhempas di Scotland

LONDON – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan warga emas berusia 80 tahun maut selepas pesawat ringan terhempas berhampiran Loch Lomond, Scotland pada petang Jumaat.

Menurut laporan BBC News, perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian pada kira-kira pukul 4.45 petang waktu tempatan selepas menerima laporan nahas berkenaan.

Polis mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala ahli keluarga terdekat mereka telah dimaklumkan mengenai tragedi itu.

Pesawat jenis Piper Tomahawk II itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Glasgow pada pukul 4.17 petang sebelum berhenti menghantar isyarat kira-kira 20 minit kemudian.

Isyarat terakhir pesawat itu dikesan pada pukul 4.37 petang, beberapa batu ke timur laut Drymen, di kawasan Stirling.

Sebelum penerbangan terakhir itu, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Cumbernauld pada pukul 11.46 pagi sebelum tiba di Glasgow kira-kira 15 minit kemudian.

Pesawat itu kemudian berlepas dari Glasgow sekitar pukul 1 tengah hari untuk penerbangan kira-kira dua jam ke Newport-on-Tay, sebelum berpatah balik ke Glasgow.

Selepas berada di darat selama lebih sejam, pesawat itu berlepas sekali lagi sebelum nahas berlaku.

Susulan kejadian, sekatan sementara ruang udara dikuatkuasakan di kawasan berkenaan bagi membolehkan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pengarah Urusan Lapangan Terbang Antarabangsa Glasgow, Gavin Birch-Williams berkata, pihaknya maklum mengenai insiden membabitkan pesawat ringan yang berlepas dari lapangan terbang itu.

“Ini satu tragedi yang amat menyedihkan dan seluruh warga Lapangan Terbang Antarabangsa Glasgow merakamkan simpati serta ucapan takziah kepada rakan dan keluarga yang terjejas,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button