BERITA SEMASA

Mangsa ribut Matang terima bantuan, kebajikan penduduk diberi perhatian

MATANG – Keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut kuat di sekitar Mukim Matang, Perak menerima sumbangan dan bakul makanan bagi membantu meringankan beban mereka susulan kerosakan kediaman akibat bencana itu.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Kuala Sepetang, Mohd Khairol Iwan Mat Khairi berkata, lawatan ke kawasan terjejas dilakukan bagi meninjau keadaan mangsa serta mendengar sendiri kesulitan yang dihadapi penduduk.

Menurutnya, lawatan dimulakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Matang untuk bertemu keluarga yang terpaksa berlindung sementara sebelum diteruskan dengan ziarah ke beberapa rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat ribut.

Beliau berkata, melihat sendiri keadaan kediaman yang rosak serta mendengar luahan penduduk memberikan gambaran jelas mengenai kesukaran yang terpaksa ditanggung keluarga terjejas.

“Bayangkan, dalam sekelip mata, rumah yang selama ini menjadi tempat berlindung bersama keluarga diuji dengan kerosakan akibat bencana yang tidak diduga.

“Mungkin sumbangan ini tidak mampu menggantikan segala kerugian yang dialami, namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu keperluan harian keluarga yang sedang berdepan ujian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis lalu.

Mohd Khairol Iwan berkata, usaha turun padang bukan sekadar memenuhi tanggungjawab, sebaliknya bagi memastikan kebajikan penduduk terus diberikan perhatian dan setiap permasalahan yang dibangkitkan dapat diusahakan tindakan susulan bersama pihak berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan, pasukan penyelamat, petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pihak sekolah, agensi kerajaan serta sukarelawan yang membantu mangsa ribut.

“Kepada seluruh keluarga yang terjejas, saya mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan, ketabahan dan mempermudahkan segala urusan untuk kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

“Dalam keadaan senang, kita bersama. Dalam keadaan susah, jangan sesekali kita biarkan mereka bersendirian.

“InsyaAllah, kebajikan dan kesejahteraan warga DUN Kuala Sepetang akan terus menjadi keutamaan dalam setiap gerak kerja khidmat saya,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button