Fitnah MAIS: Aktivis NGO mengaku tidak bersalah
PUTRAJAYA – Seorang aktivis badan bukan kerajaan (NGO), Mohd Ridzuan Abdullah, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini atas pertuduhan memfitnah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebarkan kenyataan berunsur fitnah menerusi media sosial pada 13 April lalu kira-kira jam 1 tengah hari.
Kenyataan tersebut didakwa mengaitkan MAIS dengan penggunaan “imuniti istana” bagi mengelak tanggungjawab menyelesaikan tunggakan bayaran kontrak pembinaan Masjid Al-Madaniah, Subang Jaya kepada subkontraktor terlibat.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam bela, T. Ravindran, memohon jaminan rendah atas alasan faktor kesihatan dan tanggungan keluarga, manakala pihak pendakwaan memaklumkan kes berkenaan menyentuh kepentingan awam kerana melibatkan institusi agama serta pihak istana.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Jun 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








