AGAMABERITA SEMASA

Penguasaan bahasa Arab perkasa peranan hafiz al-Quran – Pengerusi MAIS

SEPANG – Keupayaan menghafaz al-Quran perlu disertai dengan penguasaan bahasa Arab bagi memastikan ilmu yang dipelajari dapat difahami, dihayati dan disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat, khususnya dalam mendepani cabaran semasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, penghafaz al-Quran yang telah menamatkan hafalan 30 juzuk disaran memperkukuh penguasaan bahasa Arab di dalam negara sebelum melanjutkan pengajian ke Asia Barat.

Menurutnya, bagi menyokong usaha tersebut, kerajaan menyediakan Universiti Islam Selangor (UIS) yang berperanan sebagai feeder school kepada pelajar tahfiz.

“Universiti ini menawarkan pengajian bahasa Arab dengan tenaga pengajar berpengalaman, khususnya dari Asia Barat.

“Penguasaan bahasa Arab amat penting supaya ilmu al-Quran bukan sekadar dihafal, tetapi dapat diterjemahkan dan dimanfaatkan untuk pembelajaran generasi di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di Maahad Tahfiz Kiblah, Jenderam Hilir, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 16 pelajar diraikan selepas berjaya menamatkan hafalan al-Quran 30 juzuk dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Yayasan Kebajikan Nusantara, Tan Sri Dr Hashim Meon memaklumkan, seramai 3,000 pelajar maahad itu telah menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 186 hafiz berjaya dilahirkan dalam tempoh dua tahun bermula 2024. Maahad ini juga mempunyai Kolej Profesional Kiblah bagi melahirkan guru yang akan menjadi tenaga pengajar di maahad tahfiz di seluruh negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button