PBB gesa gencatan senjata Gaza dikekalkan
AMERIKA SYARIKAT – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa gencatan senjata di Gaza dikekalkan secara kekal selain usaha politik dipergiat bagi mencapai keamanan berkekalan di rantau berkenaan.
Gesaan itu dibuat semalam menjelang ulang tahun konflik antara Hamas dan Israel yang tercetus pada 7 Oktober 2023.
“Sudah tiba masanya gencatan senjata menjadi kekal. Sudah tiba masanya bantuan kemanusiaan disalurkan pada skala besar. Sudah tiba masanya undang-undang antarabangsa dihormati.
“Biarlah tarikh ini bukan sekadar menandakan satu lagi tahun berkabung tetapi juga menjadi titik tolak kepada tekad baharu untuk membina masa depan berbeza.
“Dalam masa depan itu, rakyat Israel dan Palestin boleh hidup bersama dalam keamanan dan keselamatan, dengan hak, maruah dan aspirasi mereka dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Guterres berkata, rakyat Palestin di Gaza terus berdepan kehilangan nyawa dalam jumlah besar, selain dipindahkan dari kediaman serta kehilangan tempat tinggal susulan kemusnahan yang berlaku.
“Penderitaan mereka juga menuntut supaya ia dihentikan sekarang,” katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 74,200 orang terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Dalam pada itu, Guterres berkata gencatan senjata singkat yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Oktober 2025 memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk Gaza.
“Namun, ia masih belum membawa keselamatan, bantuan kemanusiaan yang mencukupi atau laluan yang diyakini ke arah pemulihan dan keamanan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








